Telegram Group Search
Lasah yang tercegat di tepi pintu hanya terpampan dengan mata terkebil-kebil memerhati isterinya merangkak-rangkak di tengah rumah.

"Macam mana kita nak buat ni, Pak Aji?" Hajah Demah semakin cemas dengan keadaan anaknya.

Bimbang juga dia sekiranya Jibah tidak dapat menunaikan fardu haji akibat diganggu penyakit ganjil secara tiba-tiba.

"Didajal orang ke Jibah ni, kerana iri hati dia nak ke Mekah!" marah benar Hajah Demah dengan kejadian yang meresahkan dia ketika itu.

Ayah saya tidak menyahut. Dia menggamit Haji Rosli supaya meletakkan tapak tangan ke ubun-ubun Jibah. Kemudian dia berpaling ke arah saya menyuruh mara ke hadapan. Hairan juga Haji Mosli tatkala ayah saya bagaikan bercakap dengan saya sebelum membacakan:

Qul-innama ana basyarum mislukum yuho ilaiya innama ilahukum ilahun wahidun faman kana yarju liqo-a rabbihi falya'mal 'amalan solehan wala yusyrik bi'ibadati rabbihi ahadan.

Sekaligus pula Jibah bingkas bangun berdiri terhuyung-hayang menuding ke arah saya di penjuru rumah. Dia menarik-narik rambutnya ketakutan dengan menangis sayu.

"Tolong ustaz, bukan salah aku!" rintih Jibah mahu melarikan diri dengan langkahnya terketar-ketar.

Dia jatuh terduduk sambil tangan terkapai-kapai mahu selamatkan diri.

"Nak ke mana kamu?" jerkah ayah saya menjuruskan tapak tangannya ke muka Jibah dengan membacakan Al-Fatihah tiga kali.

Menggeliat-geliat Jibah menahan kesakitan seolah-olah disimbah dengan minyak panas mendidih. Ayah saya tidak peduli Jibah merintih-rintih, namun dia terus membacakan:

Wa-imma yanza ghannaka minasy syaitoni nazghun fasta-'iz billahi innahu sami;ul 'alim.

Perlahan-lahan tubuh Jibah rebah ke lantai lemah tidak bermaya. Ketika ini saya melihat seorang lelaki tua memisahkan diri dari tubuh Jibah yang lemah lantas berdiri. Kepalanya memanjang laksana buaya terjongol di tengah permukaan air. Apabila dia mahu melarikan diri tangan saya sudah mencengkamnya sehingga terasa seolah-olah kepala cicak sahaja di bawah tapak tangan saya. Suara orang tua itu menjadi gementar apabila diserkup tapak tangan yang besar laksana bukit menghimpit kepalanya.

"Besarnya tapak tangan ustaz ni!" gerutu orang tua itu merungut-rungut, hingga mereka yang tercongok di situ mendengar bisikan halus dari mulut Jibah.

"Mana ada ustaz di sini?" bentak ayah saya menyindirnya. "Pak Aji tak nampak ke, ustaz pegang kepala saya ni?" Jibah termengah-mengah menggapai tangan bagaikan mahu melepaskan diri.

Memang lelaki tua berkepala buaya itu terkial-kial di bawah tapak tangan saya. Terketar-ketar dia memberitahu mengenai keturunannya memang pawang buaya untuk selamatkan orang-orang kampung diganggu buaya. Asal sahaja buaya mengganas di tengah arus, memang dia dijemput orang-orang kampung menangkap buaya berkenaan. Dia akan turun menyelam ke tengah arus sampai dua tiga jam baru timbul semula ke permukaan air. Dia akan mengheret buaya yang ditangkapnya ke tebing sungai. Setelah disembelih dia sendiri akan melapah perut buaya berkenaan. Orang-orang kampung akan melihat dalam perut buaya itu bermacam perkakas peninggalan mangsa sama ada tongkat, gelang atau subang berlonggok di dalam perut.

Memang seisi kampung tahu mengenai Pawang Libin yang sanggup diajak ke mana-mana sahaja sekiranya penduduk-penduduk kampung diganggu buaya ganas. Tidak pernah seekor pun buaya terlepas sekiranya Pawang Libin sudah menyelam ke dasar sungai. Seisi kampung tahu Pawang Libin akan bertukar menjadi buaya berjalur putih di tengah belakang. Ke mana sahaja buaya ganas menyusup di merata ceruk akan diselongkarnya habis. Ketika ini Pawang Libin bukan lagi manusia menyelam di dasar sungai, tetapi buaya berjalur putih.

Kerapkali juga orang-orang kampung melihat buaya berjalur putih di tengah belakang terjongol di permukaan sungai. Sekiranya buaya berkenaan bermain di tengah arus, mereka seisi kampung tidak perlu bimbang. Tidak seekor pun buaya ganas berani terjongol kepala apabila buaya berjalur putih di tengah belakang iru bermain di permukaan air. Mereka percaya buaya berjalur putih itu memang jelmaan Pawang Libin.
Setelah Pawang Libin meninggal dunia pun orang-orang kampung kerapkali ternampak buaya berjalur tengah belakang itu bermain di tengah arus sungai.

"Kalau kau ganggu Jibah, tubuh kau akan dipanah petir!" bentak saya merenung lelaki tua berkepala buaya itu.

"Aku tak ganggu Jibah, ustaz," beritahu lelaki berkepala buaya itu terketar-ketar.

"Jibah yang terkejut fasal nampak aku!" rintihnya kesal dengan kejadian tersebut.

"Kenapa kau ke sini?" soal saya keras setelah menyedari tenaganya bertambah lemah.

"Aku nak jumpa Lasah, dia cucu cicit aku," ujarnya mencebik bibir menahan kesakitan setelah sekian lama terhimpit di bawah tapak tangan saya seakan-akan bukit menyerkup.

"Buat apa jumpa Lasah?" sengaja saya menyindirnya biar dia semakin terdesak.

"Lasah nak ke Mekah, apa salahnya aku ziarah," lelaki berkepala buaya merintih-rintih sayu.

Tetapi dia tidak membantah apabila saya memberi isyarat supaya dia berundur meninggalkan Jibah. Ketika dia meninggalkan kawasan rumah, lelaki berkepala buaya itu tersengguk-sengguk menangis sambil mengerling ke arah Lasah. Memang Jibah terkejut tatkala nampak suaminya Lasah tiba-tiba bertukar bagaikan kepala buaya. Sebab itulah dia terjerit ketakutan. Dia sendiri berbisik kepada ayah saya, fasal nampak saya merentap kepala buaya yang menyerkup Lasah seolah-olah topeng keras. Tetapi bukan JIbah sahaja yang menuduh saya terjongol di situ tatkala dia meracau-racau. Anak kakak saya, Ziman juga tercengang-cengang memberitahu emaknya apabila nampak saya melintas di situ. Beberapa kali dia menegur tetapi saya sekadar mengangguk kepala sahaja.

"Tidur ke, ustaz" tegur Kadir Misai apabila kereta meranduk kegelapan malam melalui jalan berliku-liku itu.

Dia memerhati saya mula mengalih sandar belakang setelah lama sangat terlelap mata.

"Di mana kita sekarang ni," ujar saya lantas beristighfar beberapa kali.

"Jauh lagi nak sampai ke Jerantut," ujar Kadir Misai. Dia beritahu selepas solat Maghrib memang saya berbaring sebentar. Tetapi saya terus turun ke kereta dengan tidak menunggu masuk Isya'. Disebabkan saya tidak bercakap sepatah pun, Kadir Misai juga ikut sama turun meninggalkan Siak Budin bersendirian di atas surau.

Ketika saya masuk ke keretanya hairan juga Kadir Misai disebabkan saya membolos masuk sedangkan keretanya masih terkunci. Tidak lama selepas meninggalkan surau itulah, baru saya mengusap-ngusap muka perlahan. Lantas sahaja Kadir Misai menegur sebaik sahaja saya mula membuka mata.

"Kita solat di mana tadi, Kadir?" apabila saya kenangkan berhenti di surau bersama Siak Budin.

"Ah, surau selepas dusun durian," jelas Kadir Misai kerana dia sendiri tidak tahu di kampung mana kami berhenti solat.

Beberapa kali saya beristighfar setelah diberitahu oleh Kadir Misai. Tetapi sengaja saya tidak memberitahu Kadir Misai, memang surau yang ditemui itu hanya rumah buruk di tepi jalan. Tentu Siak Budin yang solat bersama-sama itu juga sekadar bayangan sahaja hingga saya terkeliru. Masakan selepas melintas dusun durian terdapat kampung tatkala melalui jalan berliku-liku di lereng bukit. Siak Budin juga bersendirian sahaja setelah jemaah yang lain turun meninggalkan surau. Saya dapat mengagak pengalaman bertemu Siak Budin sama juga dengan kejadian singgah di surau Lebai Kidam di Serting sebelum itu.

Lebai Kidam yang sudah meninggal dunia lebih lima belas tahun itu saya temui di suraunya, semasa dalam perjalanan ke rumah Pak Hid di Bukit Kelulut. Disebabkan sewaktu melintasi surau Lebai Kidam waktu malam, ketika balik dari rumah Pak Hid di sebelah paginya saya singgah juga di surau Lebai Kidam. Memang saya sudah duga surau berkenaan tinggal usang dengan sarang labah-labah di merata ceruk. Pak Hid sendiri yang beritahu mengenai Lebai Kidam sudah meninggal dunia, sekalipun saya ceritakan fasal solat bersama Lebai Kidam di situ. Tersengguk-sengguk Pak Hid menangis setelah diberitahu mengenai pertemuan dengan Lebai Kidam itu. Dia tahu Lebai Kidam sudah lebih lima belas tahun meninggal dunia, bagaimana pula boleh tercongok di tengah suraunya solat bersama saya?
"Balik nanti kita singgah di surau tu," lantas saya menepuk bahu Kadir Misai.

"Ustaz ingat surau tu sama dengan surau Lebai Kidam dulu?" segera Kadir Misai menyahut apabila dia juga teringatkan kejadian solat di surau Lebai Kidam di Serting.

"Ah, kita singgah aje, apa salahnya!" beritahu saya tersengih-sengih mengerling Kadir Misai.

Belum sempat Kadir Misai menyahut tiba-tiba sahaja tayar kereta meletup. Serentak dengan itu kereta terbabas ke tepi jalan sampai berpusing ke belakang. Mujur juga tidak terbalik akibat tayar pecah tidak semena-mena.

Tetapi Kadir Misai tidak bimbang apa-apa. Dia boleh gantikan semula tayar pancit itu dengan tayar ganti. Sudah beberapa kali dia terkena kejadian demikian. Kalau takat kerosakan sikit keretanya memang dia boleh baiki juga. Ketika dia menggantikan tayar kereta yang pancit itulah, Kadir Misai terkejut kerana Siak Budin tercegat di sisinya. Siak Budin membantu dia gantikan tayar kereta berkenaan.

"Ada rahmatnya kereta awak pancit ni," ujar Siak Budin perlahan.

"Kalau awak cepat sampai ke Jerantut, entah apa pula malangnya!" jelasnya sewaktu Siak Budin meninggalkan kami sambil dia mengerling ke arah saya.

Ketika Siak Budin bersalam dengan saya terasa tangannya lembut laksana gabus. Tetapi sempat juga dia berbisik kepada saya, "Ustaz tentu lebih tahu dari saya,". Saya mengangguk perlahan sambil mengesat pelupuk mata.

Tamat bab 127.

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab128

ORANG BERSAYAP DIPERDU POKOK

(Bab 128 bahagian 1)

TERPAKSA juga berpatah balik disebabkan tidak dapat ke Jerantut akibat pokok tumbang melintang jalan. Ketika kereta Kadir Misai melalui selekoh berkenaan sudah ada lori berhenti tidak dapat meneruskan perjalanan. Mereka memberitahu hampir sahaja lori tersebut terperusuk ke bawah pokok tumbang disebabkan baru sahaja berlaku kejadian itu.

Kalaulah kereta Kadir Misai tidak pancet, mungkin juga terperangkap di bawah pokok tumbang melintang jalan itu. Semasa kereta pancet terbabas ke tepi jalan, memang lori berkenaan memotong ke hadapan. Sekiranya lori itu laju melalui berliku-liku itu nescaya terperangkap juga di bawah pokok yang baru sahaja tumbang melintang jalan.

Mahu ditunggu pokok itu dipotong tentu memakan masa. Pemandu lori juga tidak dapat memotong kayu besar itu disebabkan tidak ada gergaji. Lainlah kalau berpatah balik membuat laporan. Disebabkan tidak dapat mahu ke Jerantut menziarahi Lebai Bumin, lantas saya mengajak Kadir Misai balik sahaja.

Perkara menziarah Lebai Bumin bukanlah tidak penting, tetapi aral yang menghalang di tengah perjalanan itu menyebabkan kami terpaksa membatalkan hasrat di hati. Memang kesal juga saya tidak dapat menemui Lebai Bumin setelah mendapat tahu dia terlantar sakit.

"Tak apalah kita balik aje, Kadir," bisik saya setelah pemandu lori juga berpatah balik ke Temerloh.

"Apa pula malangnya nasib kita ni, ustaz'?" keluh Kadir Misai kerana tidak menyangka aral yang menghalang perjalanan.

“Ini bukan urusan kita," sahut saya sekalipun menyedari Kadir Misai memang mendongkol benar hatinya.

"Kalau nak pergi juga, kita tunggu siang, ustaz!" Kadir Misai bernekad benar mahu ke Jerantut. Memang dia tidak puas hati disebabkan aral tersebut setelah berura-ura mahu menemui Lebai Bumin. Manalah tahu tidak dapat lagi bertemu orang tua itu setelah sekian lama terlantar uzur.


Saya tidak menyahut. Kalau Kadir Misai gagahi mahu juga ke Jerantut saya tidak menghalang apa-apa. Lagi pun sudah sampai di Pahang, tentu terkilan juga tidak menjengah Lebai Bumin di Jerantut. Lagi pun Kadir Misai boleh singgah di rumah bapa mertuanya di Lancang kalau mahu berihat.

Kadangkala bapa mertua Kadir Misai hairan juga bagaimana menantunya yang mudah panas baran itu boleh berkawan rapat dengan saya. Pantang sahaja dicabar Kadir Misai lantas menyenseng lengan baju tidak peduli apa-apa. Marah benar dia sekiranya sesiapa sahaja cuba perolok-olokkan dirinya.

"Ustaz ni lemah lembut, macam mana boleh sesuai dengan Kadir," tersengih-sengih Pak Taja sebaik sahaja saya naik ke rumahnya bersama Kadir Misai. Terkuap-kuap dia menyambut kami disebabkan dikejutkan bangun tidur setelah hampir 2.00 pagi.

"Ah, takkan sepanjang masa Kadir nak panas baran!" sahut isterinya Mak Bijah mengejek Pak Taja. Kalau singgah di Lancang memang Pak Taja sanggup bercekang mata melayani saya sampai ke pagi. Mulutnya becok menyuruh isterinya Mak Bijah sediakan kopi atau rebus pisang.

Tahu sangat dia semenjak Ulung Bahar masih hidup, memang beberapa kali saya singgah di rumahnya. Setelah Ulung Bahar meninggal dunia sahaja, saya tidak kerap ke Lancang. Tetapi Pak Taja tetap berpesan pada Kadir Misai supaya mengajak saya singgah ke rumah.

"Tak pernah ke Sabah lagi, bang Taja?" sengaja saya mengalihkan perhatian dia kerana mahu bandingkan saya dengan menantunya Kadir Misai.

Memang saya tahu Kadir Misai mudah panas baran sekiranya hasratnya terhalang. Tetapi dia tidak akan menyanggah apa pun keputusan saya dalam urusan yang membabitkan dirinya. Tahu sangat dia bahawa saya tidak pernah mahu menyusahkan dirinya kalau dia memerlukan apa-apa nasihat.

"Dah tak ada hal lagi, tak pernahlah ke sana," beritahu Pak Taja tersengih-sengih apakala kenangkan masa lampaunya lama di Sabah.

Mudah sahaja terbayang di kepalanya hutan besar banyak di Sabah yang masih belum terbuka. Akibat hutan besar itulah jalan raya juga melalui kawasan hutan yang menyeramkan. Tetapi Pak Taja tidak pernah bimbang sekiranya diajak ke tengah hutan.
Tatkala diberitahu mengenai orang dari Semenanjung hilang di hutan, penduduk-penduduk kampung segera menemui Pak Taja. Dia diharapkan membantu beberapa orang pawang di situ mencari Usin Todak yang hilang semasa masuk bertapa.

Penduduk-penduduk kampung tahu memang Usin Todak amalkan ilmu bertapa di tengah hutan sepi. Disebabkan lama bekerja di Sabah, teringin juga dia mahu mencuba amalan Tok Sitam yang boleh hilangkan diri apabila dibacakan mentera jampinya.

Sudah lama Usin Todak menyimpan keinginan setelah mendengar kehebatan Tok Sitam. Bukan takat boleh hilangkan diri, tetapi boleh terbang laksana burung dalam sekelip mata sahaja. Dia sekadar menyuruh Usin Todak pejamkan mata, kemudian terasa tubuhnya melayang. Sebaik sahaja Usin Todak membuka mata tiba-tiba sahaja didapatinya tercegat di pucuk pokok tinggi mengawan bersama Tok Sitam.

Bila-bila Tok Sitam sanggup turunkan amalannya asal saja Usin Todak mampu Iakukan petua-petuanya. Tetapi Pak Taja sengaja mengusik kawannya itu kerana terlalu ghairah mahu amalkan bertapa di tengah hutan.

"Senanglah kamu nak balik ke Semenanjung, terbang saja!" ujar Pak Taja semacam tidak bersetuju dengan hasrat kawan-nya mahu sangat amalkan bertapa di tengah hutan.

"Apa-apa hal kita cuba dulu, Taja" sahut Usin Todak kesal dengan sikap Pak Taja seolah-olah mahu lemahkan semangatnya.

"Dulu bolehlah belajar ilmu macam ni," tegas Pak Taja sengaja nasihatkan kawannya. "Sekarang kapal terbang dah ada, kalau nak terbang naik ajelah kapal terbang," tersengih-sengih dia mengerling Usin Todak.

"Tak sama terbang macam itu,” Usin Todak mencebek bibir kerana dipersendakan oleh Pak Taja.

Perkara terbang bersama Tok Sitam tidak sama dengan menaiki kapal terbang melangkaui laut balik ke Semenanjung. Tetapi Tok Sitam boleh melayang dalam sekelip mata ke atas pucuk pohon yang tinggi mengawan. Seisi kampung tahu mengenai Tok Sitam mampu mengawal kampung sekiranya berlaku kecurian kerbau atau lembu di mana-mana.

Jangan siapa sahaja berani mencuri di dalam kampungnya selagi Tok Sitam terconggok. Bila-bila Tok Sitam akan terbang di udara memerhatikan siapa lakukan perbuatan mencuri di tengah kampung. Mudah sahaja dia mencekak tengkuk kalau pencuri cuba berkeras mahu melawan. Sekaligus Tok Sitam terbangkan pencuri dengan kerbau atau lembu yang dicuri naik ke pucuk pohon yang tinggi.

Apabila siang hari, Tok Sitam akan bawa orang-orang kampung memerhatikan pencuri terkial-kial di atas pokok tujuh lapan pemeluk di pinggir hutan bersama kerbau terselit di celah dahan. Selagi pencuri itu tidak mengaku bertaubat jangan ulangi perbuatan terkutuk demikian, memang Tok Sitam tidak akan turunkan!

Manalah Pak Taja tahu kalau tidak mengalami sendiri terbang bersama Tok Sitam, Lainlah Usin Todak sudah dua tiga kali diuji oleh Tok Sitam sampai dia terasa bagaikan mahu muntah terjeluih akibat pening kepala. Macam dibuai mimpi sahaja dirasanya tatkala melayang ke atas pucuk pohon menjulang tinggi.

Sewaktu melayang turun ke bawah sengaja Usin Todak membuka mata hingga terasa pitam dia apabila menjunam terlalu laju. Kecut juga perutnya apabila kenangkan akan terhempas ke tanah hingga remuk tulang belulang. Sebab itulah Tok Sitam larang dia membuka mata semasa diuji demikian.

Setelah lulus diuji Tok Sitam inilah dia dikehendaki bertapa di tengah hutan. Usin Todak hanya perlu siapkan tujuh kepal nasi dengan tujuh butir garam sahaja. Tok Sitam perintahkan dia duduk di celah banir perdu pokok tujuh lapan pemeluk dengan amalkan petua-petua yang diberikan.

Memang Tok Sitam ingatkan dia supaya tidak membuka mata sepanjang bertapa di perdu pokok berkenaan. Usin Todak tidak perlu bimbang setelah membuang pakaiannya, dia perlu duduk di atas tumit dengan lutut tertumpu ke bumi. Hari pertama sahaja dia amalkan petua tersebut Tok Sitam menberi jaminan siapa pun tidak akan melihatnya di situ lagi.

Kalau petua itu tidak diikut pantang larang, selamanya Usin Todak akan hilang tidak kelihatan oleh sesiapa lagi. Bukan mudah pula mahu pulihkan sekiranya hilang dalam masa amalan bertapa dibuat.
Selepas Usin Todak bernekad mahu amalkan petua yang diberikan oleh Tok Sitam itulah isterinya Bimah memberitahu kehilangan suaminya. Terpaksa juga diberitahu ketua jabatannya mengenai Usin Todak hilang setelah masuk ke hutan. Siapa pun tidak diberitahu tujuan dia masuk ke hutan selain daripada dikatakan tersesat tatkala berburu.

Kita kena cari Tok Sitam juga!” ujar Pak Taja setelah diberitau oleh beberapa orang yang membantu mencari Usin Todak.

Di mana nak cari Tok Sitam tu?” Bomoh Supin mengeluh pendek apabila didesak oleh Pak Taja mahu temui Tok Sitam.

"Tentu Tok Sitam yang dapat pulihkan dia, kalau hilang masa bertapa!" Pak Taja tetap menuduh kawannya itu sudah melanggar pantang larang petua yang diajarkan oleh Tok Sitam.

"Aku tak pernah dengar nama Tok Sitam tu," jelas Bomoh Supin macam hairan apabila disebut Tok Sitam di hadapannya.

Disebabkan siapa pun tidak tahu di mana Tok Sitam, terpaksalah mereka harapkan Bomoh Supin berusaha mencari tempat Usin Todak menghilangkan diri. Pak Taja juga diharapkan oleh Bimah dapat membantu supaya suaminya yang hilang di hutan ditemui semula. Sewaktu meninggalkan rumah memang Bimah diberitahu oleh Usin Todak mahu memburu di hutan bersama Tok Sitam.

Mereka berdua sama-sama tidak balik semula ke kampung. Hutan di Sabah tidak sama dengan di Semenanjung. Manalah Usin Todak tahu mengenai ceruk penjuru hutan Sabah yang tidak dapat dicari Ialuan arahnya. Lainlah hutan di Semenanjung memang Usin boleh mengagak ke mana tembusnya kalau sesat di tengah hutan pun.

Tahu sangat Bimah apabila Usin Todak sesat di hutan Bidor mencari petai sampai tidak bersua jalan pulang. Tiga hari dia meranduk hutan tebal lantas juga ke jalan besar berhampiran Tanjung Malim. Letih lesu juga dia tersesat di hutan, tetapi Usin Todak tidak bimbang apa-apa. Dia masih boleh mencari pedoman sekiranya tersesat di hutan Semenanjung.

Memang di Sabah tidak sama dengan di Semenanjung. Kalau sesat di tengah hutan ke mana lagi Usin Todak mahu mencari pedoman. Apalah kalau berpisah dengan Tok Sitam setelah tersesat jauh.

Ketika melihat kesan nasi bersepah-sepah di perdu pokok berbanir lebar, lantas Bomoh Supin menyuruh beberapa orang memeriksa sekeliling pokok berkenaan. Pak Taja juga melihat ada kesan perca kain hitam dengan kesan kapur sirih di situ.

"Memang di sini dia bertapa!" gerutu Bomoh Supin setelah cam kesan rimah nasi itu masih baru benar. "Sekarang kita sama-sama ikhtiar Taja," Bomoh Supin ingatkan kawannya di Semenanjung itu. Dia sendiri tahu mengenai Pak Taja mampu gunakan amalan dan petua semenjak beberapa tahun dia bertugas di Sabah.

Sudah menjadi kebanggaan mereka yang tinggal jauh pedalaman akan membalas dendam sekiranya gadis-gadis mereka di persia-siakan oleh lelaki dari bandar. Apalagi mereka yang datang dari Semenanjung sengaja mahu mencari gadis di pedalaman.

Tidak bertangguh mereka akan gunakan bomoh biar kemaluan lelaki itu berpindah ke dahinya. Rasakan betapa malunya lelaki itu mahu keluar dari rumah, apabila kemaluan sudah dialihkan ke dahi macam belalai gajah tergantung.

Sebab itu mereka bimbang mahu ganggu gadis-gadis di pendalaman apabila kenang kemaluan dialihkan ke dahi. Sudah beberapa orang kawan mereka mengalami kejadian yang memalukan itu. Ketika inilah mereka harapkan Usin Todak pulihkan semula permainan ilmu hitam yang mengerikan sekalipun ada masanya mereka sekadar dianiaya.

Mudah sangat orang-orang di pedalaman membalas dendam asal sahaja ada gadis mengadu mereka dipersia-siakan. Mereka tidak peduli sama ada gadis berkenaan sengaja mahu memerangkap lelaki yang menarik perhatiannya.

Tetapi Usin Todak tidak akan melakukan bersendirian. Apabila Jusuh diganggu kejadian demikian. Tiba-tiba Jusuh mendapati kemaluannya berpindah ke dahi apabila pagi dia mahu bersiap-siap ke tempat bertugas. Sebaik sahaja melihat di cermin, terkejut Jusuh dengan keadaan dirinya berlaku tidak semena-mena.
Setelah diberitahu Usin Todak, lantas dia mengajak Pak Taja ikut sama ke bilik sewa Jusuh. Sewaktu sama-sama jauh di rantau mereka wajib bantu membantu disebabkan saudara mara tidak akan dapat menjengah. Memang Pak Taja pun tahu sangat kejadian demikian sekiranya mereka mahu membalas dendam.

Tahu sangat dia Jusuh bukanlah suka sangat berpeleseran tidak menentu. Tetapi dia mengaku terlepas cakap hingga menyakiti hati seorang janda dari pedalaman. Dia sendiri tidak rnenerangkan sangat bagaimana punca terperangkap dengan perempuan itu kepada Pak Taja.

Dalam masa Usin Todak menyediakan tiga kerat tebu hitam dengan pucuk labu dijampi dengan lada hitam bercampur garam, Pak Taja sekadar mengisar tapak tangannya. Kemudian dia menekan ibu jari kanan ke tapak tangan kiri lantas membacakan:

Qola haza rahmatum min rabbi fa-izaja-a wa'du rabbi ja'alahu dak-ka-a wakana wa'du rabbi haqqan, watarakna ba'dhohumyau ma-iziny yamuju fi ba'dhin wanufikho fissuri fajamainahumjam'an.

Serentak dengan itu Jusuh jatuh berguling terjerit-jerit menahan kesakitan. Usin Todak juga lantas meramas-ramas tebu hitam berkulit keras itu hingga hancur laksana rami padi dimamah lembu. Hairan juga mereka yang melihatnya bagai-mana tebu keras itu boleh diramas-ramas mudah oleh Usin Todak.

Sebab itu Bomoh Supin tahu sangat memang Pak Taja bukan boleh diperolok-olokkan. Sampai sembuh Jusuh tidak harapkan sesiapa pun di situ, hanya terserah pada Pak Taja dan Usin Todak. Tetapi Usin Todak tidak cukup dengan kebolehannya selama ini. Dia masih harap juga Tok Sitam mengajarkan amalannya.

"Sekarang kamu jangan jadi harimau sembunyikan kuku Taja," Bomoh Supin mencebek bibir sambil berkeliling pokok besar berbanir lebar itu.

"Saya bukan harimau Pak Supin," sahut Pak Taja tersengih- sengih mengusik Bomoh Supin "Sebab itu saya tak ada kuku,” ujarnya terus duduk bersandar pada sebatang pokok terap.

"Jangan cakap macam tuTaja!" lantas Bomoh Supin keraskan suara. Dalam saat demikian dia tidak mahu Pak Taja bergurau. Mereka masuk jauh ke tengah hutan semata- mata mahu selamatkan Usin Todak. Beberapa orang yang turut membantu sentiasa mengharapkan usaha mereka secara amalan petua.

Perkara hilang di hutan bukan boleh dimain-mainkan. Semua pihak bertanggungjawap setelah aduan dibuat mengenai kehilangan Usin Todak semasa berburu ke hutan. Bomoh Supin juga perlu membuktikan dirinya ikhlas dalam membantu usaha demikian.

Kalau dia tidak berusaha keras tentu masyarakat akan menuduhnya gunakan kebolehan menjadi bomoh untuk mencari faedah diri sendiri. Tetapi jauh di sudut hatinya dia sekadar mahu berbakti mengikut kemampuan dirinya. Bukan mudah mahu yakinkan orang ramai mengenai amalan dan petua kerana siapa pun tidak dapat melihat perkara yang di luar jangkauan akal manusia.

Sebab itu tersinggung juga hatinya apabila Pak Taja masih juga mahu berolok-olok. Tetapi ketika ini Pak Taja belum pun mencecah umur 40 tahun. Kalaulah dia tidak gagahi mempelajari petua dan amalan dari Ulung Bahar memang terumbang ambing dia tatkala berada jauh di rantau orang.

Tetapi sejak umurnya 20-an lagl Pak Taja sudah mendesak Ulung Bahar. Dia sanggup bercekang mata sampai ke pagi, kalau Ulung Bahar mendesaknya buat solat sunat tahajud sampai seratus malam. Sepanjang malam Pak Taja disuruh berzikir hingga terasa seluruh badan dirayapi semut beratus-ratus ekor.

Memang dia tidak bersetuju sangat apabila Usin Todak berkeras mahu amalkan petua Tok Sitam bertapa jauh di tengah hutan. Tetapi Usin Todak tidak peduli apa-apa. Perkara dia mahu amalkan petua semasa bertugas di Sabah tidak sangkut paut dengan kerjanya di pejabat. Dia boleh ambil cuti sampai seminggu sampai amalan Tok Sitam selesai.

Bersambung...

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab128

ORANG BERSAYAP DIPERDU POKOK

(Bab 128 bahagian 2)

Tentu Pak Taja tidak percaya kebolehannya terbang hingga ke pucuk pokok tinggi sayup mengawan setelah selesai amalkan petua yang diamalkan oleh Tok Sitam.

Biarlah Pak Taja mengejeknya dalam tempoh dia masuk ke hutan bertapa di banir pokok sebesar tujuh Iapan pemeluk. Dia sudah siapkan nasi dikepal tujuh genggang jadi bekalan selama bertapa di situ. Tok Sitam sendiri beritahu tentu akan menjelma lembaga bersayap di sisinya mengajar terbang hingga ke pucuk pokok berkenaan.

Usin Todak akan buktikan dirinya boleh terapung-apung di udara setelah diajar oleh lembaga bersayap itu. Biar Pak Taja lihat sendiri bagaimana dia melayang laksana keluang berligar tengah malam. Tetapi dia tahu tidak siapa pun melihat Tok Sitam tatkala terbang terapung-apung. Dia akan hilang dari pandangan manusia sebelum terbang ke udara.

Memang itulah yang diharapkan oleh Usin Todak biar siapa pun tidak dapat melihat dia setelah amalan petuanya sebati dengan jiwanya. Sebab itu perlu bertapa jauh di tengah hutan mencari pokok besar berbanir lebar.

Dia mesti menyeru puaka hutan sampai tercegat di hadapannya dengan sayap terkembang. Puaka hutan itu akan mengajaknya terbang ke udara hingga sayup memandang ke bawah. Usin Todak sanggup lakukan apa sahaja asalkan dia dapat mewarisi amalan Tok Sitam.

"Kita mulakan sekarang Taja!" bisik Bomoh Supin memberi isyarat kepada pembantunya Jidun Lopong supaya sediakan tempat bara. Jidun Lopong akan membakar kemenyan sebaik sahaja Bomoh Supin memanggil jin khadamnya.

Ketika ini mereka yang sama-sama mencari Usin Todak mula mencari tempat duduk masing-masing berkeliling pokok besar tersebut. Mereka juga yakin memang Usin Todak bertapa di situ disebabkan kesan nasi dan barang-barang yang digunakan untuk bertapa bersepah di situ. Masakan Usin Todak diterkam binatang buas tatkala terconggok di situ!

Kalau diterkam binatang buas tentu kesan darahnya memercik di perdu pokok. Tetapi sekeliling pokok tidak ada kesan apa-apa, selain rimah nasi dan perkakas-perkakas bertapa.

Sebaik sahaja Jidun Lopong membakar kemenyan, Bomoh Supin menghunus keris pesaka berkarat mata. Dia menjulang tinggi keris itu hingga melepasi kepala dengan mengepak tangan sekaligus pula dia menggoyangkan badanya laksana tengah beratib.

Hampir lima belas minit Bomoh Supin terlenggok-lenggok, beberapa orang yang berkeliling di situ terkejut apabila melihat bayangan lelaki berbulu hitam seluruh badan terlekat pada pokok berkenaan. Tubuhnya bersatu dengan pokok tersebut dengan kepalanya sahaja mengeleng-ngeleng.

“Mana kamu sembunyikan Usin Todak?” lantas Bomoh Supin bingkas bangun meletakkan kerisnya ke dada lembaga yang melekat pada perdu pokok berkenaan.

Lembaga itu sekadar menyeringai hingga nampak giginya berceranggah laksana mata gergaji. Belum sempat Bomoh Supin meradakkan mata kerisnya lembaga itu hilang tidak kelihatan lagi. Serentak dengan itu pula pucuk pokok berkenaan bergoyang kuat bagaikan dirempuh angin kencang.

“Hah, puaka hutan buat angkara,” gertu Bomoh Supin mengertap bibir.

“Usin Todak ada di sini,” Ujar Judin Lopong memberitahu kumpulan orang ramai yang datang mahu menyelamatkan Usin Todak tersesat di hutan.

"Tapi dia dikawal oleh puaka hutan," dia meneruskan sambil mengesat peluh yang memercik di dahi.

"Jadi, kita nak buat macam mana sekarang?" Tok Musit yang menjadi ketua kumpulan mencari Usin Todak bersuara lemah.

"Kita perlukan bantuan bomoh," Judin Lopong mengingatkan. "Pak Supin saja tak mampu, kita perlu cari lima atau enam orang lagi," tegasnya memandang Tok Musit.

"Bomoh macam mana?" hairan juga Tok Musit apabila Judin Lopong mendesak supaya dicari bomoh lagi.

"Bomoh yang ada pelihara puaka," sahut Judin Lopong mengeluh pendek. Memang siapa pun tidak percaya apabila dia ingatkan bukan mudah mahu selamatkan Usin Todak yang tidak boleh dilihat dengan mata kasar itu. Tentu Usin Todak tidak dapat keluar dari kawalan puaka hutan yang menjelma tatkala diseru oleh Bomoh Supin.
"Macam mana Encik Taja?" Tok Musit berpaling pada Pak Taja yang tersandar di perdu pokok terap.

"Terserah pada Tok Ketua," Pak Taja tidak membantah apa-apa pun keputusan Tok Musit. Kalau Tok Musit perlu keluar balik ke kampung mencari bomoh yang ada memelihara puaka, dia tidak membantah. Tok Musit tentu lebih mengetahui apa yang perlu dibuat di kampung halamannya.

Disebabkan sudah semakin senja, Tok Musit meminta supaya mereka berkhemah dulu di situ. Kalau perlu menjemput bomoh di kampung lain membantu, dia akan lakukan keesokan harinya. Jauh di tengah hutan memang sukar mahu mencari jalan balik apabila malam kian gelap tidak kelihatan apa-apa.

Pak Taja terpaksa juga mencari anak air untuk mandi dan mengambil wuduk. Selesai sahaja solat maghrib, dia tidak peduli orang lain yang memasang lampu supaya mudah menyuluh sekiranya Usin Todak menjengah ke situ. Bomoh Supin juga masih berusaha lakukan amalan petuanya dengan Judin Lopong membakarkan kemenyan.

Memang beberapa kali lembaga lelaki bersayap terlekat pada pokok itu berbayang-bayang menjelma. Tetapi beberapa minit sahaja bayangan tersebut hilang sebelum sempat Bomoh Supin bertindak. Mengeluh panjang Bomoh Supin disebabkan gagal mahu memerangkap jelmaan puaka berbulu hitam yang bersayap itu.

Dalam masa Bomoh Supin meneruskan amalan petuanya Pak Taja menguatkan zikirnya selepas solat maghrib. Terpaksa juga dia ingatkan segala pesan Ulung Bahar apabila kenangkan kawannya Usin Todak hilang di hutan jauh dari kampung halaman sendiri.

Setelah terasa zikirnya bergema jauh di sudut kalbunya, Pak Taja membacakan al-Fatihah 41 kali. Ketika ini dia merasakan air matanya jatuh berlinang dengan dadanya semakin sebak. Sedikit demi sedikit tubuhnya bagaikan terlalu kecil hingga tenggelam dalam kegelapan. Lantas PakTaja membacakan surah ad Dhuha sampai ternampak lorong bercahaya jauh di hadapannya.

Sebaik melihat jalan bercahaya berlorong jauh ke hadapan, Pak Taja terus membacakan:

Uskun aiyuhal waji' billazi, in yasya yuskinir riho fayazlalna rawakida 'ala zohrihi, inna fi zalika la-ayatin likulli sab-barin syakur.

Tubuh Pak Taja melayang melalui lorong bercahaya itu hingga sampai ke kawasan lapang. Dia melihat sekumpulan lembaga bersayap merayau-rayau tetapi mereka tidak terbang ke udara. Masing-masing berjalan menunduk sebaik sahaja menyedari Pak Taja terconggok di situ.

"Kenapa tak terbang, bukankah awak ada sayap?" sengaja Pak Taja mengejek lelaki bersayap yang hampir dengannya.

"Macam mana nak terbang, kami dah langgar pantang larang," beritahu lelaki itu kesal dengan kejadian yang menimpa dirinya.

"Jadi, apa guna sayap awak tu?" Pak Taja mencebek bibir.

"Kami boleh terbang kalau tak ada manusia melihatnya!" beritahu lelaki bersayap itu melerek senyum.

"Mana Usin Todak?" tidak bertangguh Pak Taja membentak lantas membacakan:

Kaf ha ya sad; ha mim a’in sim kaf, Allallahhi tawakkal-na rab-bana la taj’alna fitnatan lilqaumiz zolimina, minajiina birahmatika mi-nal qaumil kofirin.

Tiga kali dihentakkan tumitnya ke tanah, Pak Taja mengisarkan kuat menyebabkan lelaki bersayap itu termengah-mengah sukar bernafas. Dia mengembangkan sayapnya mahu terbang tetapi sekadar terkial-kial sahaja tidak dapat bergerak.

"Apa salah aku, awak buat macam ni?" gerutu lelaki bersayap itu mencemik marah. Pak Taja tidak menyahut. Tetapi dia merenung tajam dengan tumitnya masih dikisar ke bumi. Setiap kali dia mengisar tumit semakin termengah-mengah lelaki bersayap itu. Kemudian dia menekup dadanya seolah-olah kesakitan hingga air liur melejeh-lejeh di bibir.

"Di mana Usin Todak?" jerkah Pak Taja tidak melepaskan tumitnya yang di kisar ke bumi.

Ketika ini terasa bumi sekitarnya bergegar kuat diikuti dengan angin kencang. Pak Taja tetap bertahan sekalipun tubuhnya hampir diterbangkan angin kencang itu. Sebaik sahaja angin kencang berhenti tiba-tiba di hadapannya tersergam pokok besar. Dia melihat Usin Todak bercantum badan dengan pokok berkenaan.
Sebaik Usin Todak melihatnya lantas sahaja dia memberi isyarat supaya Pak Taja berundur jauh. Air mata Usin Todak bergenang tatkala bersua Pak Taja di situ.

"Kau kenal aku, Usin?" soal Pak Taja memerhatikan ramai lelaki bersayap mengelilingi kawannya itu.

Usin Todak mengangguk perlahan.

"Mari kita balik, tinggalkan tempat ni!" keras suara Pak Taja mendesaknya. Tetapi Usin Todak menggeleng lemah. Dia tidak dapat melepaskan diri daripada pokok yang bersatu dengan tubuhnya. Jauh di kerengkungnya Usin Todak memberitahu dia tidak boleh memisahkan dirinya dengan pokok berkenaan setelah diperdaya oleh Tok Sitam.

"Kalau aku balik pun, sayap aku ni kekal!" ujar Usin Todak perlahan menunjukkan sayapnya yang mulai tumbuh. Selagi sayapnya tidak tumbuh memanjang tubuhnya tidak akan lekang daripada pokok berkenaan. Masakan Usin Todak boleh balik menemui isterinya Bimah dalam keadaan tubuhnya ditumbuhi sayap. Tok Sitam yang ditemuinya itu sudah lama meninggal dunia. Kalau dia menjelma pun sekadar mahu memperdayakan sesiapa sahaja biar mengikut jejaknya.

"Kau tak bersyukur jadi manusia yang serba sempurna Usin!" Pak Taja meluahkan rasa terkilannya. Kenapa Usin Todak mencari sesuatu yang tidak mampu dicapainya, sedangkan ilmu Allah meliputi tujuh petala bumi tujuh petala langit.

Alangkah sempurnanya manusia dijadikan Allah, kenapa mahu mencari sesuatu yang Iebih rendah dan tidak diredhai-Nya?

Terbayang kekesalan di wajah Usin Todak setelah bertemu Pak Taja di situ. Kalaulah dia tahu Tok Sitam yang ditemuinya selama ini sudah lama meninggal dunia, memang dia tidak berkeras mahu amalkan petua boleh terbang ke pucuk pohon tinggi.

Perkara Tok Sitam selamatkan penduduk-penduduk kampung sudah berlalu berpuluh-puluh tahun sebelum itu. Memang ketika itu penduduk-penduduk pedalaman tidak ada tempat mahu mengadu sekiranya ternakan mereka dicuri orang. Siapa lagi boleh diharap kalau bukan Tok Sitam.

Kalau Tok Sitam terbang ke udara pun mereka tidak pernah melihat. Orang-orang kampung sekadar terserempak beberapa kali Tok Sitam berdiri di pucuk pohon tinggi mengawan. Dalam beberapa saat sahaja Tok Sitam akan jejak semula kaki di bumi.

Memang Tok Sitam akan terbangkan siapa sahaja yang mencuri ternakan orang-orang kampung di pucuk pokok yang tinggi sayup mata memandang. Kemana lagi si pencuri mahu selamatkan diri kalau pokok enam tujuh pemeluk tersergam menjulangnya. Lainlah kalau ada sigai yang boleh bergayut untuk turun ke tanah, tentu mereka akan juga merangkak turun.

Terpaksalah mereka harapkan Tok Sitam juga turunkan semula ke tanah. Si pencuri memang kecut perut apakala merasa tubuhnya melayang di bawa turun sekalipun orang-orang kampung tidak melihat apa sebenarya berlaku. Keistimewaan Tok Sitam itu memang mereka kagumi hinggalah lelaki itu meninggal dunia.

Setelah Tok Sitam meninggal dunia beberapa kali juga orang terserempak dia bertapa di pinggir hutan. Sebab itu mereka yang mahukan amalan petua Tok Sitam tidak lepaskan peluang mengunjunginya. Sampaikan Usin Todak juga sanggup mengambil cuti seminggu semata-mata mahu terbang ke udara. Dia boleh melayang dari satu tempat ke satu tempat dalam sekelip mata.

"Aku tak boleh balik lagi Taja," beritahu Usin Todak sebak menahan kesal di dada.

"Kenapa tak boleh balik?" bentak Pak Taja mendengus marah.

"Macam mana aku nak buang kepak aku ni?" ujar Usin Todak dengan air tergenang banyak di mata.

"Ilmu Allah tujuh petala bumi tujuh petala langit banyaknya, kenapa kau cari ilmu syaitan?" sengaja Pak Taja mengejeknya untuk melepaskan rasa geram yang mendongkol.

"Cukuplah Taja, janganlah kau nak marah aku!" Usin Todak semakin galak tersengguk-sengguk menahan rasa terharu di hatinya.

Lama dia tersengguk-sengguk Pak Taja melihat pohon yang berbanir besar itu hilang bersama kabus yang meliputi kelilingnya. Pak Taja juga mengeluh pendek dengan keadaan Usin Todak yang dilihatnya. Memang dia sendiri tidak dapat mahu menyelamatkan kawan-nya itu, kerana yang mampu memberikan pertolongan dan perlindungan hanya Allah Azzawajalla.
Ketika ini Pak Taja sendiri menangis tersengguk-sengguk akibat sayu dengan kejadian yang menimpa kawannya itu. Dalam masa dia tersengguk-sengguk inilah Bomoh Supin menepuk-nepuk bahunya. Terkejut Pak Taja apabila Bomoh Supin menyuruhnya bangun mendekati pokok kayu yang tersergam di hadapan mereka.

"Aku dengar bayang yang menjelma di pokok tu, memanggil kamu, Taja," jelas Bomoh Supin yang hairan dengan jelmaan lembaga di perdu pokok tersebut. Sudah beberapa kali dia cuba memerangkap jelmaan yang dituduhnya puaka hutan itu, tetapi lembaga itu cepat sahaja hilang sekiranya dia menerpa dengan keris di tangan.

"Kita tak boleh jumpa Usin Todak di sini," lantas sahaja Pak Taja mengalah setelah menyedari kerja sia-sia sahaja kalau terus juga usaha mengesan Usin Todak.

"Jangan putus asa, Taja," Bomoh Supin tetap yakin Usin Todak boleh ditemui asal sahaja puaka hutan yang mengawalnya dapat dikalahkan. Dia bersetuju dengan Judin Lopong mesti lima enam orang lagi bomoh datang membantu ke situ. Tiap-tiap bomoh akan melepaskan jembalang masing-masing supaya menyerbu ke tengah hutan belantara. Jembalang peliharaan bomoh-bomoh itu akan menyerkup puaka hutan yang berkeras mahu mengurung Usin Todak.

"Kerja sia-sia aje, Pak Supin," Pak Taja tetap tidak mahu meneruskan usaha tersebut.

Biarlah Bomoh Supin mahu menjemput berapa ramai pun bomoh di seluruh Sabah. Kalau mereka berjaya menemui Usin Todak, tentu Tok Musit akan memberikan upah juga. Tok Musit yang menjadi ketua gerakan mencari Usin Todak yang dikatakan tersesat di hutan itu, memang berharapkan bantuan bomoh seperti Bomoh Supin.

Mereka percaya hutan di Sabah tidak sama dengan di Semananjung. Hutan di Sabah masih banyak puaka yang mengawal di setiap penjuru. Siapa sahaja akan tersesat kalau tidak mendapat bantuan bomoh. Sebab itu mereka mesti meminta bomoh membakar kemenyan dulu sebelum melangkah masuk berburu ke hutan.

Tetapi Usin Todak berdegil. Dia mahu ke hutan bukan berguru dengan Tok Sitam, tetapi bertapa mahu amalkan petua boleh ghaib dan terbang laksana keluang di tengah malam. Memang terkejut Bomoh Supin apabila diberitahu oleh Bimah mengenai suaminya ke hutan bersama Tok Sitam.

Tahu sangat Bomoh Supin mengenai Tok Sitam yang sudah meninggal dunia berpuluh-puluh tahun lamanya. Dia juga sekadar mendengar dari datuknya fasal Tok Sitam boleh terbang ke pucuk pokok yang tinggi. Sekalipun seisi kampung memuji-muji tetapi Bomoh Supin dan datuknya sendiri mencemuh sekiranya mereka kagum sangat dengan keistimewaan Tok Sitam.

Sudah beberapa kali Tok Sitam larikan isteri orang dengan membawanya terbang ke pokok yang tinggi. Kalau perempuan cantik di kampung lain sudah menjadi idamannya, bila-bila sahaja Tok Sitam akan terbangkan. Masakan suami perempuan itu berani membantah kalau dalam sekelip mata sahaja isterinya dibawa terbang.

Memang mereka tahu perbuatan Tok Sitam. Tetapi siapa berani menentang kalau cuba menghalang. Sebaik sahaja mereka bertentang mata dengan Tok Sitam seluruh anggota badan akan menjadi lemah tidak bermaya. Tok Sitam akan perlakukan apa sahaja di hadapan mata mereka sendiri isteri yang dilarikan itu.

Satu-satunya yang ditakuti oleh Tok Sitam memang datuk Bomoh Supin. Kalau Long Bidik tercegat di hadapannya nescaya Tok Sitam melarikan diri. Dia tidak akan berkeras terbangkan isteri orang yang disukainya apabila Long Bidik sudah tercegat di tengah rumah. Bukan sahaja dia tidak mampu terbang melayang ke udara, malah nafsunya juga tidak bermakna sebaik sahaja matanya ditentang mata Long Bidik. Sinar mata Long Bidik tidak mampu dipandangnya. Masakan dia dapat bertahan disebabkan Long Bidik boleh membakar apa saja dengan silauan cahaya matanya.

Kalau Long Bidik boleh merenung cahaya matahari dengan tidak berkedip sebaik sahaja naik segalah hingga sampai tegak di kepala, apa sangat dengan mata Tok Sitam. Cubalah! Tok Sitam tidak mampu memandang silauan cahaya yang memancar dari mata Long Bidik.

"Hah, sampai sekarang Usin Todak yang hilang tu, tidak ditemui!" jelas Pak Taja apabila kenangkan kejadian bertahu tahun dulu di Sabah.
"Ayah kawan ni pun banyak pengalamannya, ustaz,” terkekeh-kekeh Kadir Misai ketawa mengusik ayah mertuanya.

"Ustaz pun tahu, arwah Ulung Bahar banyak cerita fasal ustaz ni," lantas sahaja Pak Taja mahu mengalih cerita menantunya itu.

"Memang ayah dah banyak dengar fasal ustaz," sahut Kadir Misai mencebek bibir. Tapi arwah tu tak cerita lagi pada ustaz fasal ayah,” katanya masih ketawa memanjang.

Singgah di rumah ayah mertua Kadir Misai memang mahu berihat, tetapi Pak Taja bukanya tahu mahu duduk diam. Disebabkan dia sudah terkejut tidur semasa saya datang bersama Kadir Misai, sengaja dia melayani kami berbual. Sampai subuh pun kami tidak dapat melelapkan mata. Hanya selepas solat subuh saya rebahkan juga badan disebabkan tidak tertahan lagi rasa mengantuk. Biarlah dapat hilangkan rasa mengantuk sebelum bertolak semula ke Jerantut menziarahi Lebai Bumin itu.

Tamat bab 128.

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab129

BERLAWAN DENGAN USUNGAN MAYAT

(Bab 129 bahagian 1)

HANYA selesai makan malam tatkala menyandarkan belakang kepada guni padi di tiang tengah untuk seruhkan perut, Utih Deman rasa berdebar hati apabila terdengar laungan dari arah kubur. Jeritan halus meminta tolong itu timbul tenggelam beberapa kali.

Ketika itu selepas maghrib sahaja keadaan keliling sudah gelap gelita. Apa sangat harapkan pelita ayan di tengah rumah sekadar menerangi penjuru bilik sahaja. Lainlah pada masa sekarang api elektrik sudah terang benderang serata kampung. Oleh itu selesai sahaja maghrib mereka terus makan malam tidak bertangguh. Kemudian duduk seruhkan perut sementara menunggu isya.

Setelah solat isya memang Utih Deman tidak bertangguh bentang tikar bantal dan tarik selimut terus lelapkan mata. Kalau isterinya Uda Milah asak belakang pun dia tidak peduli lagi. Tetakala mata mengantuk memang Utih Deman mahu tidur sahaja macam batang pisang tergolek tidak bergerak.

Cepat tidur sampai bersenar panjang pun apa salahnya, kerana pagi-pagi lagi dia akan bangun celikkan mata. Terkuap-kuap pun Utih Deman terpaksa ke perigi sama ada mandi atau mengambil wuduk. Selesai sahaja solat subuh dan minum sarapan yang dihidangkan oleh Uda Melah, dia akan terus menoreh di kebun getah.

Biarlah Uda Melah uruskan anak-anak ke sekolah. Setelah semuanya selesai Uda Melah akan galas tajak ke tengah sawah sampai matahari tegak di kepala. Uda Melah akan menajak rumput memanjang tengah sawah sementara menunggu Utih Deman habis menoreh.

Apabila siap sahaja kepingan getah tidak bertangguh pula Utih Deman turun ke sawah sama-sama menajak dengan isterinya. Kadangkala Uda Melah turun ke sungai membasuh kain, setelah suaminya Utih Deman mula menajak rumput di tengah sawah. Tahu sangat mereka suami isteri kerja-kerja demikian sampai bila pun tidak ada habis. Setiap hari mereka mesti buat kerja-kerja tersebut untuk menampung hidup sekeluarga.

Bukan Utih Deman sahaja yang menanggung kerja demikian, seisi kampung pun tidak lepas membuat kerja menoreh getah dan menajak sawah setiap hari. Tetapi kalau diberitahu ada jiran yang terlantar sakit, mereka akan jengah juga selepas zohor sementara menunggu asar. Hanya masa itu sahaja mereka terluang masa untuk menjengah jiran- jiran yang terlantar sakit.

Utih Deman sempat juga ziarah Anjang Tiamah ketika orang tua itu terkejang tengah rumah hingga berminggu-minggu tidak berselera makan. Anjang Tiamah bukan takat jiran sahaja tetapi emak saudara isterinya Uda Melah juga. Apabila diberitahu oleh Sahak Domeh meminta seisi kampung bacakan Yassin untuk emaknya yang terkejang sakit, Utih Deman pun ikut sama jejak kaki ke rumah Anjang Tiamah.

Mereka seisi kampung wajib bantu membantu apabila menghadapi sakit atau kemalangan. Ketika itu masyarakat kampung tahu sangat tanggung-jawab berjiran. Saya yang datang bertugas di kampung terperosok itu juga mesti ikut sama bercekang mata, apabila diberitahu mengenai Anjang Tiamah yang lama terkejang sakit.

Hanya beberapa bulan sahaja saya datang ke kampung berkenaan, Utih Deman sudah berkawan rapat. Kadangkala masak kuih lepat pisang pun Uda Melah akan hantar ke rumah saya. Utih Deman tidak kedekut kalau dapat ikan banyak tatkala menimba lubuk di tengah sawah, bila-bila dia akan suruh isterinya hantarkan pindang ikan ke rumah saya.

Memang berselera makan nasi dengan pindang ikan yang diberi oleh Uda Melah. Sekali sekala Ulung Sali dari Pelangai akan datang juga menjengah saya ke situ, apabila didengarnya Mat Deh berkunjung. Terkilan benar dia kalau tidak dapat bertemu sepupu saya itu setiap kali Mat Deh berkunjung ke kampung berkenaan.

Sewaktu Anjang Tiamah terkejang sakit, kebetulan pula Mat Deh berkunjung ke rumah yang saya sewa di kampung itu. Dalam perjalanan dia dari Temerloh ke Segamat ikut Jalan Mancis, memang dia akan singgah juga sebentar menemui saya. Sebab itu sengaja saya minta dia bertangguh setelah Sahak Domeh memberita mengenai mahu membacakan Yassin.

"Aku nak cepat ke Segamat ni, Angah," ujar Mat Deh semacam mahu mengelak.
Tetapi saya tahu Mat Deh tidak akan berkeras sekiranya saya mendesak. Semenjak di kampung lagi dia sentiasa mengalah apabila saya harapkan dia membantu. Tok Aji sentiasa ingatkan dia supaya membimbing saya apabila saya memerlukan.

"Abang Mat bukan nak kejar pangkat ke sana!" sengaja saya mengejekknya dengan tersengih-sengih mengerling ke arah dia.

Memang serba salah dia saya sudah mendesak. Mat Deh sama macam Tok Aji mereka tidak akan hampakan permintaan saya. Semenjak belajar di madrasah Tok Aji bersamanya dia sudah menganggap saya macam adik sendiri, bukan lagi sepupu sahaja.

"Susahlah aku dengan kamu ni,” gerutu Mat Deh mendengus perlahan.

SeIepas jiran-jiran bacakan Yassin itulah keadaan Anjang Tiamah semakin lemah. Matanya terpejam dengan nafas sahaja turun naik. Beberapa kali dipanggil oleh Sahak Domeh, namun emaknya sudah tidak menyahut lagi. Anjang Tiamah nazak.

Masing-masing saling berpandangan dengan keadaan Anjang Tiamah selepas sarna-.sama bacakan Tassin beramai-ramai. Memang Mat Deh diminta megetuai bacakan Yassin itu.

"Apa ikhtiar kita, ustaz?" Sahak Domeh menepuk bahu saya dengan wajah kian bimbang.

Perlahan-lahan saya berpaling pada Mat Deh. Dia lebih berpengalaman tentulah banyak ikhtiar yang boleh difikirkan. Kemudian saya menyuruh Sahak Domeh beritahu sahaja kepada Mat Deh. Apabila Sahak Domeh mencuit bahunya, cepat-cepat Mat Deh memberi isyarat supaya bertenang sahaja. Tahu sangat saya Mat Deh tidak berdiam diri. Dia tengah berdoa tatkala menghadapi Anjang Tiamah tengah terkejang tidak bergerak apa-apa lagi. Saya mendengar Mat Deh membacakan perlahan doanya:

"Allahhummaagh firli warfaldarajatahu fil muhdiyyina wakhlufhufi 'akibihi filghabirina waghfirlana walahu ya rabbil 'alamina wafsohlahu fi qobrihi wanauwirlahufihi."

Sebaik sahaja Mat Deh hembuskan ke ubun-ubunnya, nafas Anjang Tiamah yang kencang kembali tenang. Tetapi matanya tetap terpejam tidak buka sebenang pun. Kemudian saya menyuruh Sahak Domeh sudukan air sejuk yang sudah didoakan dengan bacaan Yassin itu ke mulut Anjang Tiamah.

Sehingga subuh keadaan Anjang Tiamah tidak juga berubah. Dia tetap terkejang tidak bergerak apa-apa, hanya nafasnya sahaja berombak-ombak lemah.

"Tak apalah, biar kami balik dulu," Mat Deh memberitahu jiran-jiran lain yang sama terconggok berkeliling, lantas mengajak saya balik ke rumah. Dia mahu solat subuh di surau. Keadaan Anjang Tiamah tidak perlu dibimbangkan lagi kerana semuanya adalah ketentuan Allah belaka.

Kalau dia terconggok di situ pun Mat Deh tidak boleh lakukan apa-apa lagi. Apalah gunanya dia sama-sama menghadap Anjang Tiamah tengah nazak. Dia dapat merasakan keadaan Anjang Tiamah memang menunggu saat sahaja, dan hanya Allah yang Maha Mengetahui segala-gala yang tersembunyi dan yang nyata.

Sebaik sahaja saya mengekori Mat Deh balik ke rumah bersiap-siap untuk ke surau solat subuh, Utih Deman juga ikut sama balik ke rumahnya. Selesai sahaja solat, Utih Deman segera menghampiri saya.

"Macam mana Anjang Tiamah tu, ustaz?" bisiknya seolah-olah serba salah mahu terus menoreh getah. Tentulah terkilan juga hatinya kala tengah menoreh diberitahu ada kematian. Sekiranya dia tahu Anjang Tiamah sampai saatnya biarlah dia tidak menoreh langsung.

"Hah, takkan kita nak mendahului ketentuan Allah," Mat Deh keraskan suara menyebab kan Utih Deman terkejut. Bagaimana Mat Deh boleh mendengar dia bercakap dalam keadaan berbisik, sedangkan jarak mereka duduk terlalu jauh?

"Saya cuma nak tahu aje? “ tersengih-sengih Utih Deman malu dengan sindiran Mat Deh

"Kalau Abang Deman nak menoreh, menorehlah," ujar Mat Deh mengisar duduk. "Jangan disebabkan Anjang Tiamah, tergendala pula kerja Abang Deman," tegasnya macam dapat membaca segala yang terbuku di hati Utih Deman.

"Nanti tengah menoreh, meninggal pula dia!" rungut Utih Deman memang serba salah mahu turun menoreh getah.
"Kalau Abang Deman sengaja menunggu dengan tak ikhlas tak manfaat juga," jelas Mat Deh selanjutnya.

Perkara mahu mencari rezeki tidak sama dengan menghadap orang tengah nazak. Rezeki bila-bila pun boleh dicari selagi tenaga sihat tidak diganggu penyakit. Tetapi orang tengah nazak bukan sepanjang masa harapkan setiap orang menghadapnya. Apabila saatnya tiba dia akan pejamkan mata rapat-rapat buat selama-lama. Selepas itu dia tidak akan ganggu siapa lagi harapkan orang orang menghadapnya dengan doa yang tulus ikhlas.

Memang tidak berguna apa-apa menghadap orang tengah nazak sekiranya hati serba salah apabila kenangkan mahu mencari rezeki. Sebab itulah Mat Deh ingatkan Utih Deman supaya tidak salahkan Anjang Tiamah yang terkejang, kalau hatinya serba salah mahu menoreh.

"Dapatkah diagakkan, sampaikah saatnya?" masih juga Utih Deman tidak dapat membuat keputusan.

"Itu urusan Allah, bukan hak kita menentukan," mendengus lemah Mat Deh disebabkan Utih Deman masih mendesak. Bagaimana dia mahu menerangkan sama ada Anjang Tiamah akan meninggal dunia atau pun tidak?

Kalau Utih Deman mahu menoreh apabila salahnya terus sahaja ke kebun, kenapa mesti digendalakan kerja disebabkan bimbang Anjang Tiamah.
Sehingga jam sepuluh pagi keadaan Anjang Tiamah tidak juga berubah. Terpaksalah Mat Deh teruskan juga perjalanannya mahu ke Segamat. Dia tidak perlu menunggu di situ, sekali pun Sahak Domeh bercadang mahu mengulangi membaca Yassin selepas maghribnya.

Tetapi sebelum meninggalkan rumah tempat saya menyewa sempat juga Mat Deh berbisik kepada saya,” Tak payah bacakan Yassin maghrib nanti pun tak apa, cukuplah tu.”

Selepas Mat Deh bertolak ke Segamat, saya jengah juga Anjang Tiamah di rumahnya. Ketika saya sampai di tengah halaman, jian-jiran sudah ramai berkumpul. Beberapa orang jiran tengah menetak buluh dan pelepah rumbia untuk membuat usungan.

Di tengah rumah terdengar bacaan al-Quran beberapa orang jiran yang duduk mengadap jenazah. Ketika saya naik ke kepala tangga, Sahak Domeh bagitahu emaknya sudah meninggal dunia. Utih Deman juga sibuk di hujung serambi sediakan besen besar menadah air yang diangkut dari telaga. Di situlah jenazah akan dimandikan.

Memang Utih Deman tidak ke kebun getah menoreh disebabkan hatinya serba salah mahu meninggalkan Anjang Tiamah tengah terkejang demikian. Terkilan juga dia sekiranya Anjang Tiamah meninggal tatkala dia tengah menoreh di kebun. Apa pula kata jiran-jiran sekiranya dia tidak jengah muka sebaik sahaja di beritahu Anjang Tiamah meninggal dunia.

Uda Melah juga akan berleter panjang kalau Utih Deman menyeret basikal ke kebun dalam saat Anjang Tiamah tengah nazak. Apa sangat dengan harta dunia kalau dibandingkan dengan budi bahasa? Semasa Anjang Tiamah tengah sihat, siapa lagi diharapkan kalau Uda Melah mengerang tengah malam mahu bersalin? Seisi kampung juga harapkan Anjang Tiamah apabila isteri masing-masing merengat perut mahu melahirkan anak.

Tiga hari pula Anjang Tiamah akan berulang mengurut seluruh badan sampai pulih setelah melahirkan anak. Memang Anjang Tiamah satu satunya diharapkan menjadi bidan di tengah kampung.

Masakan mudah sangat Utih Deman mahu lupakan jasa orang tua yang sudah banyak menolong Uda Melah bersalin. Semua anaknya yang dilahirkan memang Anjang Tiamah yang menyambut. Sebab itu Utih Deman keraskan hati tidak mahu menoreh dalam saat Anjang Tiamah terkejang tidak bergerak lagi.

Biarlah Anjang Tiamah tidak hembuskan nafas sehingga masuk maghrib setelah Sahak Domeh membuat keputusan untuk ulangi membaca Yassin. Utih Deman tidak terkilan tidak dapat menoreh. Apalah salahnya tidak menoreh sehari dua, bukannya boleh menjadikan dia miskin melarat kalau tidak menoreh pun.

Selagi padi penuh di kepuk, Utih Deman tidak bimbang apa-apa. Anak isterinya tetap dapat makan kalau padi penuh di kepuk. Kalau tidak berlauk dia boleh tahan lukah di sungai, bila-bila sahaja ikan semilang, terbul sisik atau baung masuk ke injap lukah. Uda Melah boleh kukur kelapa gugur di hujung halaman untuk masak gulai ikan lemak kuning.
Kalau mahu berselera lagi minta sahaja daun kunyit Anjang Tiamah buat perencah. Bila-bila pun Anjang Tiamah benarkan ambil sehelai dua daun kunyitnya di baruh dapur. Mereka hidup berjiran memang boleh meminta apa sahaja apabila jiran memerlukan. Tentu Uda Melah juga akan hantarkan sepiring gulai ikan masak lemak kuning ke rumah Anjang Tiamah.

“Tak lama ustaz balik, emak hembuskan nafas,” beritahu Sahak Domeh sebaik sahaja saya duduk di sisi jenazah.

Saya mengangguk perlahan, kemudian terus membacakan Yassin di sisi jenazah. Setelah selesai saya turun ke tengah halaman disebabkan mereka sudah bersiap-siap untuk mandikan jenazah di hujung serambi. Besen besar tempat menadah air yang diangkut dari telaga juga sudah penuh, dengan Bidan Jibah sudah bersedia untuk mandikan jenazah berkenaan.

Ketika mayat tengah dimandikan itulah Latip Bincut beritahu mengenai Ripin Jegil yang datang menjengah. Pagi lagi Ripin Jegil sudah tercegat di muka pintu sebaik sahaja mendapat tahu Anjang Tiamah sudah nazak. Kalau isterinya Bidan Jibah tidak merungut panjang memang Ripin Jegil tidak mahu menjengah kakaknya itu.

Tidak tahu pula mereka kenapa Ripin Jegil marah sangat dengan kakaknya Anjang Tiamah, sampaikan tidak datang menjengah tatkala orang tua itu terlantar sakit. Sahak Domeh juga tidak pernah jejak kaki ke rumah bapa saudaranya itu memberitahu mengenai keadaan emaknya.

Sebaik sahaja melihat keadaan Anjang Tiamah terkejang tidak bergerak lantas Ripin Jegil bacakan al-Fatihah tiga kali dan surah al-lkhlas. Kemudian dia mengesat pelupuk matanya perlahan terus membacakan:

Qola haza rahmatun min rabbi fa-izaja-a wa-durabbi ja'alahu dakka-an wakan wa'du rabbi haqqan, watarakna ba'dhuhum yau ma-izin yamuju fi ba'dhin wanufikho fissuri fajama'nahum jam'an.

Setelah dihembus ke ubun-ubun kakaknya, dengan tidak bercakap sepatah apa pun Ripin Jegil turun ke tengah halaman. Dia terus ke baruh rumah menuju ke tepi telaga. Latip Bincut juga mengekori dari belakang mahu membantu. Manalah tahu Ripin Jegil mahukan diambil perkakas-perkakas tertentu mengikut petuanya.

Tetapi Ripin Jegil tidak meminta apa-apa. Dia menetak tiga pelepah batang keladi air dan dikerat panjang sejengkal. Tiga pelepah batang keladi air itu diletakkan di dahi, di pusat dan di hujung kaki. Perlahan-lahan Ripin Jegil menghembus tubuh kakaknya tiga kali dengan membacakan doa:

Qul innama ana basyarum mislukum yuho ilaiya innama ilahukum ilahun wahidun faman kana yaju liqo-a rabbihi falya'mal 'amalan solehan wala yusyrik bi'ibadati rabbihi ahadan.

Tujuh kali dibacakan oleh Ripin Jegil, baru dikutipnya semula tiga pelepah batang keladi panjang sejengkal itu. Dia membawa pelepah keladi air itu dengan tidak bercakap apa-apa pun. Jiran-jiran yang melihat perbuatan Ripin Jegil itu hairan juga tetapi tidak menegur apa. Masakan mereka boleh membantah Ripin Jegil lakukan apa pun kerana dia adik kandung Anjang Tiamah.

Bersambung...

Jom ajak kawan-kawan sekali join telegram @BercakapDenganJin.
#KoleksiTokAwangNgahBab129

BERLAWAN DENGAN USUNGAN MAYAT

(Bab 129 bahagian 2)

Sahak Domeh sendiri terkebil-kebil mata sahaja melihat bapa saudaranya tenang sahaja membawa pelepah keladi turun ke tengah halaman. Lama bapa saudaranya mengaji pondok di Kelantan, masakan dia amalkan petua yang tidak baik. Sejak balik mengaji pondok di Kelantan banyak kali bapa saudaranya menegur emaknya.

Marah juga Anjang Tiamah disebabkan adiknya seringkali meleteri dia kalau tidak jejak kaki ke surau. Macam mana dia mahu jejak kaki ke surau kalau terpaksa menunggu perempuan tengah sarat mengandung mahu melahirkan anak tatkala azan berkumandang sayup-sayup dari masjid? Manalah Ripin Jegil tahu mengenai tanggung jawab menjadi bidan di tengah kampung.

Lainlah isteri Ripin JegiI sendiri, Bidan Jibah memang boleh mengelak kalau dijemput orang ke rumah. Seisi kampung tahu Bidan Jibah tidak akan datang menjengah sekiranya dijemput tatkala maghrib hampir tiba. Apalagi apabila tengah malam sewaktu tengah nyenyak tidur memang dia tidak sanggup mahu bangun.

Sebab itu dia serahkan sahaja perkara membidankan sesiapa pun kepada Anjang Tiamah. Siapa lagi mahu ganggu Bidan Jibah kalau dia enggan dijemput datang. Dia sekadar sanggup membantu sekiranya Anjang Tiamah sudah terconggok mengadap perempuan mengandung tengah mengerang-erang sakit.

Tahu sangat seisi kampung mengenai Bidan Jibah yang tidak mahu datang membantu. Lainlah kalau sudah terdesak sangat sekiranya Anjang Tiamah terpaksa berkejar ke kampung lain. Mahu tidak mahu Bidan Jibah terpaksa juga datang membantu. Sebab itu Anjang Tiamah marahkan adiknya kalau cuba leteri dia. Sejak suaminya Lebai Timin meninggal dunia lima tahun sebelum itu, memang Anjang Tiamah tidak bertegur dengan adiknya. Sampaikan dia terkejang sakit pun Anjang Tiamah tidak benarkan Sahak Domeh beritahu Ripin Jegil.

Ketika Ripin Jegil menuju ke sungai membawa tiga pelepah batang keladi air panjang sejengkal itu, Latip Bincut mengekornya dari belakang. Sebaik sampai di tebing sungai lantas Ripin Jegil campakkan tiga pelepah batang keladi itu ke tengah arus.

Tidak lama dia campakkan pelepah keladi itu ke tengah arus, Sahak Domeh berkejar mendapatkannya tercungap-cungap. Dalam keadaan termengah-mengah itu Sahak Domeh memberitahu bapa saudaranya mengenai emaknya baru sahaja menghembuskan nafas.

Ripin Jegil mengangguk perlahan. Dia tidak menyahut apa-apa, tetapi sekadar mengesat pelupuk matanya. Sebab itu Latip Bincut tahu apa yang dibuat oleh Ripin Jegil sebaik sahaja dia datang menjengah kakaknya. Tahu sangat Latip Bincut dia dapat mengagak sewaktu pelepah batang keladi itu dicampakkan ke tengah aruslah, Anjang Tiamah hembuskan nafasnya.

"Ah, dari Allah dia datang, kepada Allah dia kembali," ujar Ripin Jegil apabila ditanya oleh Latip Bincut mengenai petua dia campakkan tiga pelepah batang keladi ke tengah arus itu.

Selesai sahaja jenazah dikapankan, Ripin Jegil sendiri imamkan sembahyang jenazah. Saya berdiri di belakangnya, manakala Utih Deman di sebelah saya. Selesai sahaja sembahyang jenazah, tiba-tiba Utih Deman memegang bahu saya. Dia menarik saya jauh daripada orang ramai yang bersiap-siap mengangkat jenazah ke dalam usungan. Hairan juga saya dengan sikap Utih Deman ketakutan memberitahu saya:

"Ustaz tak nampakkah kaki jenazah bergerak-gerak masa kita sembahyangkan dia?"

Saya menggeleng. Mulanya saya menyangka hanya pandangan saya sahaja terkeliru apabila melihat kaki jenazah bergerak-gerak. Dalam usia saya masih muda lagi ketika itu, memang mudah terkeliru tidak menentu. Tetapi sengaja saya berpura-pura di depan Utih Deman.

"Memang saya nampak kaki jenazah bergerak, ustaz," ujar Utih Deman serba salah.

"Utih salah pandang agak-nya," sengaja saya cuba berdalih dalam keluhan pendek.

Terdiam Utih Deman. Percaya juga dia mungkin pandangannya keliru semasa tengah sembahyangkan jenazah. Masakan kaki jenazah itu bergerak-gerak setelah sekian lama Anjang Tiamah terkejang tidak bergerak langsung. Manalah tahu angin bertiup kuat menerobos celah dinding hingga singgah ke kain kapan di bahagian hujung kaki.
Tentu hujung kain kapan itu yang bergerak akibat ditampan angin yang menerobos dari celah dinding. Tertunduk Utih Deman apabila kenangkan kejadian yang di luar dugaannya itu!

"Utih nampak kaki jenazah bergerak-gerak?" tiba-tiba Latip Bincut menghampiri Utih Deman.

Lantas Utih Deman mengangkat muka memandang ke arah saya. Bukan dia sahaja melihat kejadian tersebut. Tentu Latip Bincut juga nampak kaki jenazah bergerak-gerak semasa tengah disembahyangkan. Masakan matanya terkeliru kalau Latip Bincut juga nampak kejadian tersebut.

"Aku ingat, aku seorang aje yang nampak," gerutu Utih Deman perlahan setelah Latip Bincut juga mengakui dia melihat kaki jenazah bergerak-gerak.

"Jadi, Utih nampak kaki jenazah tu bergerak?" tersengih-sengih Latip Bincut setelah menyedari bukan dia seorang sahaja melihatnya. Bimbang juga dia kalau dituduh terlalu takut hingga terbayang kaki jenazah bergerak-gerak. Tentu seisi kampung akan mengejeknya kalau dia beritahu sesiapa dalam masa seorang pun tidak melihat kejadian itu.

Utih Deman mengangguk sambil mengerling ke arah saya Memang saya terkejut dengan kejadian itu kerana belum pernah dia mengalaminya. Dia melihat sendiri hujung kaki jenazah bergerak-gerak semasa mereka bersembahyang. Tetapi Ripin Jegil tidak peduli apa pun rungutan jemaah yang sama sembahyangkan jenazah.

Selesai sahaja jenazah di-sembahyangkan Ripin Jegil menyuruh mayat dimasukkan ke dalam usungan. Mereka mesti segera kebumikan jenazah Anjang Tiamah setelah semua urusan memandi dan mengkapankannya sudah selesai. Apa gunanya dilambat-Iambatkan kerana jenazah itu perlu dikebumikan segera.

Sebaik sahaja usungan memasuki kawasan tanah perkuburan, penutup usungan tiba-tiba sahaja diterbangkan angin menyebabkan jenazah terdedah tidak bertutup. Cepat-cepat pula mereka naikkan semula tutupan usungan itu. Ripin Jegil yang berjalan di belakang usungan tidak bercakap apa-apa, sekalipun Sahak Domeh memegang bahunya tidak ketahuan.

"Bertenang, tak ada apa-apa!" Ripin Jegil mengingatkan setelah jenazah ditutup semula. Dia dapat mengagak masakan orang-orang kampung yang mengusung jenazah percaya kalau dikatakan tutupan usungan itu jatuh ditiup angin.

Ketika itu angin tidak bertiup langsung. Kalau dikatakan usungan ditandu senget sebelah juga sampai tutupannya tercampak ke bawah pun, tidak mungkin boleh dipercayai. Mereka sama-sama mengusung dengan tidak senget langsung.

Tetapi saya melihat Latip Bincut menyeringai memikul usungan bagaikan menanggung beban tersangat berat di bahunya. Kemudian dia melambai. Sahak Domeh supaya menggantikan tempatnya mengusung di bahagian hadapan. Sebaik sahaja Sahak Domeh mengambil alih tempat dia memikul usungan, Latip Bincut menunjukkan bahunya melecet kepada saya.

"Ah, takkan mengusung jenazah pun melecet bahu kau!" sengaja Utih Deman mengejek Latip Bincut apabila ditunjukkan bahunya yang melecet itu kepada saya.

Belum pun sempat Latip Bincut menyahut, mereka yang mengusung jenazah semuanya mengeluh kerana beban mereka terrlalu berat. Kalau tidak kenangkan mereka tengah mengusung memang tidak siapa pun sanggup memikul beban.

Sebaik sampai ke kubur masing-masing dapati bahu melecet setelah usungan di letakkan. Baik Sahak Domeh, baik Utih Deman mengusap-usap bahu mereka akibat melecet memikul usungan. Tetapi siapa pun tidak memberitahu usungan itu yang terlalu berat bagaikan bebanan sepuluh guni beras.

"Kenapa bahu Utih tu?" Sahak Domeh mendekati Utih Deman yang mengusap-usap bahunya melecet.

"Entahlah," sahut Utih Deman sengaja mahu menyembunyikan rahsia usungan jenazah terlalu berat.

"Tapi usungan tu berat sangat!" lantas sahaja Sahak Domeh mengeluh pendek sambil menunjukkan bahunya yang juga melecet teruk.

"Cukuplah, kita selesaikan kerja ni dulu," segera Ripin Jegil ingatkan anak saudaranya supaya masuk ke liang kubur.
Mereka semua tidak membantah. Sebaik sahaja Ripin Jegil sudah perintahkan supaya jenazah dikebumikan, mereka turunkan jenazah itu ke lubang kubur. Memang Utih Deman disuruh menyambut bahagian kepala, kerana dia sahaja yang tahu bagaimana mahu erengkan sampai hidung jenazah mencium tebing.

Sahak Domeh menyambut di bahagian kaki, manakala Latip Bincut di tengah pinggang. Tidak pula terasa berat semasa mereka turunkan jenazah ke liang kubur. Apalagi Sahak Domeh yang menyambut di bahagian kaki, manalah dia tahu berat atau tidaknya. Lainlah Latip Bincut yang menyambut di bahagian pinggang, tentulah dia yang tahu sama ada berat atau tidak.

Tetapi Latip Bincut sendiri tidak berasa berat apa-apa. Jenazah menjadi ringan sebaik sahaja disorong ke dalam liang lahad. Semasa Utih Deman disuruh oleh Ripin Jegil bukakan ikatan di bahagian kapan kepala, dia menjadi terkejut apakala melihat muka jenazah hitam bagaikan rentung. Berdebar benar Utih Deman menatap muka jenazah bagaikan puntung kayu terbakar. Terpempan dia dalam keluhan panjang hingga beristighfar beberapa kali di dalam hati.

"Kenapa Utih?" segera Sahak Domeh memanjangkan leher setelah dilihatnya Utih Deman terkial-kial di bahagian kepala jenazah.

"Ah, tak ada apa-apa!" beritahu Utih Deman gugup. Kemudian cepat-cepat dia erengkan kepala jenazah biar hidungnya mencium tebing. Di juga sendalkan kepalan tanah supaya jenazah tidak terlentang.

Memang Utih Deman tidak beritahu siapa pun mengenai muka jenazah yang hangus laksana puntung terbakar itu. Sehingga selesai jenazah dikebumikan dia tetap rahsiakan. Biarlah dia seorang sahaja mengetahui kejadian tersebut supaya hati Sahak Domeh tidak tersinggung. Manalah tahu Sahak Domeh akan berkecil hati sekiranya dia beritahu perkara tersebut kepada anak Anjang Tiamah.

Sebab itulah Utih Deman tidak terkejut sangat sebaik sahaja mendengar jeritan halus dari arah kubur. Memang dia berdebar juga kerana tidak pernah mengalami kejadian demikian sepanjang hidupnya sekalipun rumahnya tidak jauh dari jarak tanah perkuburan di kampung berkenaan.

"Awak tak dengar ke?" Utih Deman berpaling apabila bahunya ditampar oleh Uda Melah.

"Dengar apa pula?" sengaja Utih Deman berpura-pura untuk menyembunyikan keluhan hatinya.

"Eh, pekak telinga awak ni!" rungut Uda Melah bagaikan merajuk dengan sikap suaminya. "Hah tu, jerit halus dari kubur tu," dia menambah memuncungkan bibir ke darat rumah.

"Hah, biarkan," sahut Utih Heman keraskan suaranya. "Perkara di luar rumah malam-malam macam ni, jangan ambil peduli," ujarnya ingatkan Uda Melah mengenai pantang larang orang tua-tua.

Sejak turun temurun mereka diingatkan dengan pantang Iarang orang tua-tua supaya tidak menegur apa pun yang berlaku di luar rumah tatkala malam diserkup kegelapan. Ketika ini jembalang berkeliaran mencari mangsa. Siapa sahaja menegur akan dihinggapi jembalang tengah berkeliaran itu.

Utih Deman tidak mahu rumahnya menjadi sasaran kalau jembalang berkeliaran mahu mencari mangsa. Biarlah jeritan halus itu bertali-tali melaung sepanjang malam, dia tidak peduli apa-apa. Bukan isterinya Uda Melah sahaja mendengar jeritan halus tersebut, malah dia juga sudah mengagak arah datangnya memang dari kubur Anjang Tiamah.

"Jangan, jangan dari kubur Anjang Tiamah," Uda Melah masih tidak dapat mententeramkan hatinya dengan bunyi jeritan halus yang berulang kali itu. Serba salah juga Utih Deman mahu berdalih. Memang jeritan halus berulang kali itu dari arah tanah perkuburan. Apalagi sebelah siangnya jenazah Anjang Tiamah baru sahaja dikebumikan.

Dalam masa mereka tertanya-tanya dengan suara jeritan halus itu, Sahak Domeh memberi salam dari tengah halaman. Tergesa-gesa pula Utih Deman membukakan pintu serambi sekalipun dadanya berdebar kencang. Gementar juga dia apabila Sahak Domeh memanggil. Lantas sahaja dia menuduh tentu Sahak Domeh diganggu suara jeritan halus sampai datang menyerbu ke tengah halaman rumahnya.

"Utih, mari kita ke kubur," laung Sahak Doemh dari tengah halaman sebaik sahaja Utih Deman menjengah di pintu serambi.
"Ada apa?" sengaja Utih Deman tersengih-sengih apakala melihat Sahak Domeh tercegat di tengah halaman bersama saya dan Latip Bincut. "Eh, ustaz dengan Latip pun ada sama," bertambah serba salah Utih Deman.

"Marilah kita tengok kubur emak saya," ujar Sahak Domeh menggamit Utih Deman turun.

Cepat-cepat Utih Deman menyarung bajunya yang tersangkut pada paku di dinding. Dia mencapai pelita ayan di tengah rumah dijadikan suluh meranduk kegelapan malam. Ketika ini memang tidak ada pun lampu suluh menerangi jalan sampai terang benderang dengan ubat sambung enam. Hanya harapkan pelita ayan ditampan dengan daun, biar tidak ditiup angin.

Terpaksa pula dibawa bekal gores api sekiranya api pelita padam tidak semena-mena. Dalam kegelapan itulah kami meranduk belukar tanah perkuburan dengan mengharapkan lampu pelita ayan dengan apinya meliuk-liuk ditiup angin.

"Ucu Ripin kamu tak ikut sama ke?" Utih Deman terhangak-hangak memerhati ke hadapan sambil menepuk bahu Sah Domeh.

"Ucu Ripin di rumah, dia yang suruh kami bertiga ke kubur," beritahu Sahak Domeh apabila kenangkan jeritan halus dari kubur itu sayup-sayup sampai ke rumahnya. Ketika itu memang dia mahu buat kenduri bertahlil dengan menjemput jiran-jiran.

Tetapi Utih Deman tidak kelihatan pun. Memang Utih Deman sudah beritahu saya sebelah siangnya merasa seram-seram sejuk seluruh badan bagaikan mahu demam. Sebab itulah tidak akan datang ikut sama bertahlil di rumah Sahak Domeh.

Saya sendiri menyangka demam Utih Deman tambah melarat menyebabkan dia tidak jejak kaki bertahlil. Sebaik sahaja dia menjengah di pintu, rupa-rupanya Utih Deman tidaklah demam sangat. Dia masih gagah tercegat menyahut salam Sahak Domeh.

Apabila sampai di kawasan tanah perkuburan pelita di tangah Deman beberapa kali padam ditiup angin. Puas juga kami pasangkan semula, tetapi apinya tetap padam sekalipun angin tidaklah bertiup kencang. Kami terus juga meranduk mendekati suara jeritan halus yang kedengaran sampai ke rumah Sahak Domeh.

Ketika menghampiri kubur Anjang Tiamah, saya melihat seolah-olah unggun api menyala di atas kubur. Tergamam Sahak Domeh apakala melihat nyala api itu berpunca dari rekahan tanah kubur. Tidak ada unggun kayu di situ yang menyala kalau ianya dilakukan oleh orang yang sengaja mahu bersikap nakal.

"Ustaz, marilah ke depan," Sahak Domeh memanggil saya setelah menyedari keadaan sebenarnya berlaku. Jeritan halus meminta tolong itu memang datang dari rekahan tanah yang memancar nyala api itu. "Buatlah macam mana yang ustaz fikir baik," dia menahan keharuan dengan kejadian yang menimpa kubur emaknya.

Lantas saya mencapai jag air di tangan Latip Bincut yang telah didoakan dengan bacaan Yassin beramai-ramai di rumah Sahak Domeh. Ketika kami turun dari rumah pun, memang Ripin Jegil bersama jiran-jiran yang lain meneruskan membaca Yassin beramai-ramai. Sebab itu dia meminta saya temankan Sahak Domeh bersama Latip Bincut membawa jag air yang telah di-doakan bacaan Yassin itu.

Disebabkan mereka bertiga ketakutan dengan kejadian tersebut, sengaja mereka biarkan saya berseorangan sahaja menuju ke atas kubur. Sebaik sahaja saya mendekati kubur, tiba-tiba sahaja pelepah rembia yang dibuat penutup usungan melayang ke udara. Terpaksa saya mengelak kerana hampir menyinggahi kepala saya.

Pelepah rembia yang dianyam buat penutup usungan itu sebenarnya sudah ditetak untuk dimusnahkan sebaik sahaja jenazah selamat dikebumikan. Tiga kali pelepah rembia penutup usungan itu melayang ke udara seolah-olah menyerang menyebabkan saya hentakkan tumit tiga kali ke bumi dengan membaca-kan doa:

Qolillahhil hamdurabb is samawati • warabbil ardhi rabbil ‘alamin,walahul kibri ya-u fissamawati wal-ardhi wahuwal 'azizul-hakim.

Sekaligus pula terdengar desus angin laksana tiup basikal dibuka tutup, diikuti dengan pelepah rembia penutup usungan itu terpelanting ke tengah belukar. Kemudian terdengar pula di dalam belukar itu bagaikan babi hutan menyondol tanah. Lama belukar itu seolah-olah diserbu babi hutan barulah jeritan halus meminta tolong hilang bagaikan dibawa angin.
2024/04/28 19:58:48
Back to Top
HTML Embed Code: